Ahad, 4 Oktober 2020

TIDAK MAKAN DI KANTIN SEKOLAH ADABI

(BIOGRAFI GURU SEJARAH SIRI 12)




Apabila masuk Penggal III persekolahan sesi 1988 pada 8 Ogos 1988,[1] saya mula merasa selesa mengajar di Sekolah Adabi Pasir Puteh. Saya mula berkawan rapat dengan Zamri Ketua Pelajar Sekolah Adabi. Begitu juga dengan Amin Abdullah, kawan sekampung yang mengaji al-quran di rumah saya sejak sekolah rendah. Ketika itu terdapat juga pelajar perempuan yang tinggal di Asrama Sekolah.

Seperti biasa saya bangun awal kerana Che akan mengejutkan semua isi rumah sebelum keluar mengimamkan solat subuh di Masjid Gong Chapa. Mak saya telah siap masak makanan seperti hidangan makanan tengahari. Setelah selesai solat subuh saya membuat persediaan mengajar. Kemudian saya akan makan sepinggan penuh nasi dan minum segelas air teh. Pukul 6.50 dalam keadaan cuaca yang masih gelap saya mula mengayuh basikal ke sekolah.

Apabila sampai ke sekolah saya bersedia untuk mengajar kelas Tingkatan 6 Atas, dan Tingkatan 5 . Kelas Tingkatan 6 di tingkat bawah. Manakala kelas tingkatan 5 di tingkat atas. Setiap kali masa rehat saya ke Perpustakaan untuk membaca buku dan tidak pernah ke Kantin kerana nak jimat duit untuk menyara keluarga di kampung. Ketika itu dengan izin Allah saya tidak merasa lapar dan dahaga hingga tiba masa balik pukul 1 petang. Kawan-kawan dan makcik kantin merasa hairan kenapa saya tak pernah makan dan minum di kantin.[2] Maklumlah gaji Cuma RM150.00 dibayar untuk seorang guru siswazah. Saya menghabiskan RM50.00 gaji bulan Ogos untuk membeli gigi palsu Che.

Ayah saya dipanggil Che kerana keluarga kami berasal dari keturunan Ketua Panglima Perang Kerajaan Melayu Jembal di Kelantan pada abad ke-18.[3]

_______________________________

[1] Kalender Persekolahan Penggal III 1988.

[2] Catatan Dairi 1988.

[3] Temu ramah Zahari Yaakob pada 6 Disember 2017.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan