Ahad, 4 Oktober 2020

1990 -PERSIAPAN MELAPOR DIRI DI SMK TENGKU ABDULLAH

(BIOGRAFI GURU SEJARAH SIRI 22)



Cuti Pertengahan tahun 1990 bermula dari 12 Mei 1990 hingga 3 Jun 1990.[1] Saya menghabiskan masa cuti di Kampung Gong Chapa,Pasir Puteh untuk menemani Che yang sakit tenat.Che tak dapat lagi menjadi Imam solat dan solat Terawih. Keadaan fizikal Che semakin lemah dan terpaksa solat sambil duduk.Tanggal 25 mei saya menerima sepucuk surat yang membawa khabar gembira kerana diarahkan melapor diri di SMK Tengku Abdullah, Pekan pada 4 jun 1990.[2]

Alhamdulillah dapat kerja. Tetapi sepanjang hidup saya tak pernah ke Pekan dan tidak tahu di mana letap bandar Pekan. Ketika itu duit simpanan Biasiswa Diploma Pendidikan semakin berkurangan. Lepas bayar duit pinjaman kakak Rahimah RM300.00 saya ada baki RM700.00. Perbelanjaan semasa bulan puasa di kampung juga menyebabkan duit simpanan saya semakin berkurangan.

Untuk menampung perbelanjaan selama tiga bulan di Pekan saya terpaksa menerima duit RM600.00 yang diberi oleh abang Din. Menurut kawan-kawan yang telah bertugas sebagai guru, selepas tiga bulan mengajar baru dapat gaji. Pada hari umaat 1 Jun 1990 saya bertolak ke Felda Jengka 4 dengan menaiki bas SKMK. Perjalanan agak jauh, bas bertolah pukul 9.00 pagi, jam 5.00 petang baru sampai ke Simpang Jengka. Tiket bas dari Pasir Puteh ke Temerloh berharga RM15.00. Saya turun di Simpang Jengka tetapi terpaksa membayar tiket ke Temerloh. Pukul 5.30 petang baru sampai ke Simpang Jengka 4. Dari simpang Jengka 4 saya berjalan kaki sejauh 1 kilometer ke No 108 Felda Jengka 4. Pada pagi Sabtu jam 7.00 pagi Abang Leh mencari kereta prebet sapu dan Pak Ya membawa kami ke bandar Pekan.[3]

_________________________

[1] Buku Rekod Latihan Mengajar 1990.

[2] Surat Tawaran mengajar.

[3] Catatan Dairi Jun 1990.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan